Thursday, January 27, 2011

Red Devils dipuji Berba

BLACKPOOL: Dimitar Berbatov memuji kekuatan mental barisan pemain Manchester United selepas aksinya membantu skuad bimbingan Alex Ferguson bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Blackpool di Bloomfield Road, semalam.


Blackpool mendahului 2-0 sepanjang babak pertama hasil jaringan Craig Cathcart serta DJ Campbell tetapi United bangkit dan Berbatov serta Javier Hernandez memastikan pendahulu itu kekal tanpa kalah musim ini.

“Kami miliki kekuatan mental dan menang walaupun ketinggalan 1-0 atau 2-0,” kata Berbatov yang sudah meledak 20 gol musim ini.




“Jika mampu menjaringkan satu gol, kami yakin mampu menambah lebih banyak jaringan. Kami tak bermain baik pada babak pertama tetapi bangkit babak kedua.

“Kami gagal bermain cemerlang pada babak pertama kerana keadaan padang yang buruk. Ia tidak sama dengan Old Trafford. Bola sentiasa melambung dan Blackpool beraksi cemerlang serta menjaringkan gol. Mereka juga hampir menambah jaringan tetapi kami yakin dengan diri sendiri.” United beraksi hambar hinggalah Ferguson menggantikan Wayne Rooney dengan Hernandez dan perubahan itu membawa makna besar apabila berjaya menguasai 15 minit terakhir permainan.


“Perubahan itu berjaya mengubah permainan,” kata Berbatov. “Giggs mempunyai pengalaman dan hantaran lintangnya memang menarik manakala Chicharito seorang penjaring yang hebat tetapi kami menang disebabkan semangat berpasukan yang tinggi.


“Saya harap ini bukan aksi terbaik yang terakhir. Saya harap ia akan terus berlaku sepanjang saya menyarung jersi Manchester United.

“Kami perlu bertahan hingga hujung musim dan menamatkan saingan di tangga teratas tetapi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan lain.” Ferguson mengakui United dibantu nasib pada babak pertama tetapi beliau kagum dengan cara mereka bangkit melawan untuk melakar kelebihan lima mata berbanding Arsenal. - AFP
sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: