Thursday, January 27, 2011

guna tenaga dari rumah bakar mayat panaskan kolam renang

LONDON: Sebuah kerajaan tempatan di Britain bercadang menggunakan tenaga daripada rumah pembakaran mayat di situ untuk memanaskan kolam renang di bawah kendaliannya, lapor media semalam.


Pentadbiran daerah Redditch Borough - terletak berhampiran Birmingham - berkata, langkah itu jika dilaksanakan boleh mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar.

Jurucakapnya berkata, pihak berkuasa tempatan Redditch Borough komited mengurangkan tahap pengeluaran gas karbon dioksida di kawasan berkenaan.




“Justeru, kami mempertimbangkan penggunaan tenaga dari rumah pembakaran mayat yang ada untuk memanaskan pusat rekreasi berhampiran,” katanya.

Jika tidak, katanya, kesan pembakaran itu akan dibebaskan ke udara begitu saja dan mencemarkan persekitaran.


Bagaimanapun, cadangan itu ditempelak kesatuan sekerja kedua terbesar di Britain, Unison.


Sambil menganggap cadangan itu sebagai ‘gila’, mereka akan membincangkannya dalam mesyuarat penuh majlis pimpinan Unison pada 7 Februari ini.

Setiausaha Serantau Unison, Roger McKenzie, berkata idea pihak berkuasa tempatan itu tidak dapat diterima akal dan menghina penduduk Redditch Borough.


“Ia menunjukkan mereka kini terdesak menjimatkan dana selepas Perdana Menteri David Cameron memotong peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Saya menyeru pihak berkuasa meminta maaf kepada penduduk setempat kerana tidak sensitif dengan usul berkenaan,” katanya. - AFP
sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: