Saturday, January 22, 2011

Dituduh curi getah beku: Lelaki maut dibelasah penduduk


RANTAU PANJANG 21 Jan. - Akibat dituduh mencuri getah beku, seorang lelaki yang cedera parah selepas dibelasah sekumpulan penduduk kampung meninggal dunia di Bakat Hilir di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, Mohd. Saupi Mohamad, 38, berasal dari Kampung Gual Tok Deh di sini ditemui oleh orang awam dalam keadaan separuh sedar di sebuah kawasan tanah lapang.

Dia dipercayai terjatuh ketika cuba melarikan diri dari Kampung Gual Meso yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim, pihaknya menerima maklumat orang awam mengatakan seorang lelaki ditemui dalam keadaan parah dan mengarahkan anggotanya ke tempat kejadian.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian pada pukul 1.50 petang, mangsa ditemui dalam keadaan parah dan mengalami kecederaan teruk di kepala sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang.

"Mangsa ketika itu dalam keadaan separuh sedar namun dia disahkan meninggal dunia pada pukul 2.45 petang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Haliluddin, berdasarkan maklumat awal yang diterima, terdapat tiga kesan kecederaan di belakang kepala lelaki terbabit dipercayai akibat dipukul.

Katanya, siasatan masih di peringkat awal dan setakat ini, polis telah menahan enam suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an untuk membantu siasatan.

Kes itu, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 379 kanun yang sama kerana mencuri.

"Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pasir Mas kira-kira pukul 5 petang untuk bedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak sendiri apabila berhadapan dengan kejadian seperti ini sebaliknya, mereka perlu menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Che Ngah, 64, ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Pasir Mas berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada rakannya yang menghubungi dan memberitahu anaknya dipukul dan sedang dirawat di klinik.

"Kali terakhir saya menemuinya ialah pada Hari Raya Aidiladha lalu apabila dia ada pulang ke kampung. Arwah anak ketiga daripada tujuh adik beradik dan telah berpisah dengan isterinya lima tahun lalu. Mereka mempunyai tiga orang anak yang tinggal di Bachok.

"Walaupun terkilan dengan apa yang berlaku, saya terima dengan reda kehilangan anak saya," ujarnya. via utusan

sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: