Sunday, January 23, 2011

hafiz hashim sah keluar BAM, misbun masih menjadi tanda soal


KUALA LUMPUR, 23 Jan — Pemain perseorangan kedua negara Muhammad Hafiz Hashim dibenarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) keluar daripada badan itu tanpa syarat meskipun masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan.

Berikutan dengan keputusan itu, kontrak Muhammad Hafiz akan ditamatkan secara rasmi pada 1 Februari ini, kata Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BAM di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.
Sementara itu, keputusan mengenai peletakan jawatan jurulatih Datuk Misbun Sidek masih tergantung di mana Mohd Nadzmi berkata BAM telah memberi mandat kepadanya untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Presiden BAM itu berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Misbun selepas kejohanan Badminton Terbuka Proton Malaysia untuk mengadakan perbincangan lanjut dengannya.
Misbun telah menghantar surat perletakan jawatan menerusi e-mel kepada BAM pada 31 Disember lepas dan BAM telah meminta Misbun untuk menimbang semula keputusannya dan kembali melatih pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei memandangkan ketiadaan Misbun dilihat akan menjejaskan peluang perseorangan nombor satu dunia itu meraih emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Mengenai Muhammad Hafiz, beliau berkata BAM menerima permintaan bekas juara All-England 2003 untuk menjadi pemain profesional memandangkan beliau telah banyak mewakili negara serta telah menyampaikan hasratnya untuk keluar dengan cara yang baik.
Pemain perseorangan kedua negara itu telah memaklumkan kepada BAM niatnya untuk keluar daripada badan itu pada Disember lepas walaupun beliau masih mempunyai kontrak bersama badan itu sehingga 2012 iaitu sehingga temasya Olimpik di London.
Pada Rabu lalu, selepas gagal dalam pusingan pertama di Kejohanan Badminton Terbuka Proton Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil Muhammad Hafiz mengulangi lagi keinginannya untuk meninggalkan BAM kerana berhasrat menjadi pemain profesional. — Bernama

sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: