Friday, January 21, 2011

fahrin ahmad direbut 2 wanita

Drama terbaru 'Dia Bukan Maryam' bakal menemui para penonton mulai 24 Januari 2011, jam 8.30 malam pada setiap Isnin dan Selasa di dalam slot Ratu. Drama yang menyentuh perasaan ini membariskan para pelakon handalan seperti Siti Shahrizah (Eja), Fahrin Ahmad, Lisdawati, Aqasha dan Rusdi Ramli. Lokasi jalan ceritanya di sekitar Kuala Lumpur, Madinah, Mekah dan Jeddah.

‘Dia Bukan Maryam’ arahan Erma Fatima menceritakan tentang perasaan kasih dan sayang serta pengorbanan antara cinta dan persahabatan. Perasaan sendiri diketepikan lalu membuat keputusan melupakan hasrat hati.

Cinta tiga segi antara tiga sahabat, Sarah (Eja), Nazir (Fahrin Ahmad) dan Zaimah (Lisdawati) membawa kepada suatu pengorbanan yang ikhlas lalu memendam kekecewaan.

Konflik drama yang bersiaran sebanyak 26 episod ini bermula apabila Sarah telah ditimpa kesusahan apabila dituduh membawa malang dan sial kerana menyebabkan kematian Kamal (Rusdi Ramli).

Kamal ditimpa kemalangan lalu meninggal dunia sewaktu menemani Sarah ke Genting Highland. Selepas kejadian itu jiwa Sarah tertekan, menyalahkan dirinya sebagai punca kematian Kamal dan sering meracau. Apatah lagi ibu Kamal turut menuduhnya sebegitu sehingga menyebabkan keadaan dirinya semakin merosot.

Sarah tidak kuat menerima dugaan membuatkan Zaimah hampir berputus asa memberi semangat kepadanya lalu Sarah pergi mencari Nazir. Nazir membantu Sarah seikhlas hati dan berjaya mengeluarkannya dari kekalutan itu dan dia kembali pulih.

Nazir dan Sarah semakin akrab membuatkan Zaimah berkecil hati dan menjauhi mereka. Nazir menyukai Zaimah dan berusaha mendekatinya, begitu juga dengan Zaimah yang menaruh perasaan terhadap Nazir.

Namun, demi persahabatan, Zaimah sanggup berkorban demi Sarah, sahabat baiknya, sehingga sanggup mengetepikan perasaan sendiri demi melihat sahabat baiknya kembali tersenyum.

Konflik terus berlaku apabila Sarah dan Nazir akhirnya melangsungkan perkahwinan. Mereka selamat diijabkabulkan manakala Zaimah membawa diri mengubati kekecewaan. Sepanjang dia menghilangkan diri demi mencari ketenangan, Zaimah telah bertemu dengan Shafik (Aqasha) yang juga baru lepas putus cinta ketika itu.

Pelbagai konflik dialami dan persoalan demi persoalan bergolak dalam diri tiga sahabat ini. Realiti kehidupan perlu dihadapi dengan pengorbanan, kekecewaan dan cinta yang terpendam.

Apakah yang akan berlaku kepada Sarah dan Nazir? Adakah rumahtangga mereka bahagia? Bagaimana pula dengan Zaimah? Adakah dia akan jatuh cinta dengan Shafik? Dan siapakah sebenarnya Maryam dalam ‘Dia Bukan Maryam’?

Nantikan selanjutnya episod-episod yang menyentuh perasaan dalam ‘Dia Bukan Maryam’ bermula 24 Januari 2011 ini, pada setiap Isnin dan Selasa, jam 8.30 malam hanya di dalam slot Ratu TV9.
sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: