Sunday, January 23, 2011

WikiLeaks jadi filem


LOS ANGELES: Hollywood bakal menyiarkan filem mengenai pengasas WikiLeaks itu selepas produser Barry Josephson dan Michelle Krum berjaya mendapat hak terhadap biografi Julian Assange.


Buku yang diberi tajuk The Most Dangerous Man in the World, tulisan wartawan Australia, Andrew Fowler, mendedahkan kisah Assange dari zaman kanak-kanak sehingga kini.


Josephson dan Krum berkata, mereka merancang sebuah drama paling mendebarkan seperti filem All the President’s Men serta memasukkan unsur aksi lasak seperti novel nukilan Tom Clancy.


“Sebaik saja saya bertemu Andrew dan membaca beberapa bab buku barunya, saya tahu bahawa dengan pengetahuan mendalamnya, ia akan membolehkan kami membawa cerita penuh aksi ke layar perak,” kata Krumm kepada majalah Variety.

Assange ketika ini dalam jaminan di Britain sebelum keputusan dibuat berhubung permintaan ekstradisi oleh Sweden berkaitan jenayah seks. Dia juga dilaporkan berusaha menerbitkan autobiografi sendiri untuk membayar bil perundangan.

Dia akan menulis autobiografi itu selepas bersetuju dengan perjanjian pembayaran AS$1 juta (RM3.06 juta) Disember lalu, sebahagiannya untuk membayar kos perundangannya yang semakin meningkat. 

Assange dilabel ‘seorang pengganas berteknologi tinggi’ oleh musuhnya dan ‘pejuang kebebasan internet’ oleh penyokongnya.

November lalu, WikiLeaks mendapat rampasan paling berprofil tinggi setakat ini apabila ia menjadi rakan kongsi dengan akhbar The Guardian untuk menerbitkan lebih 250,000 kabel diplomatik sulit Amerika.

Assange menaikkan kemarahan pihak berkuasa Amerika dengan mendedahkan kabel mengenai pembabitan Amerika dalam perang di Afghanistan dan Iraq.

Dia juga mendedahkan perincian prosedur pembuangan sisa toksik di Afrika dan Teluk Guantanamo, serta meletakkan kandungan manual Gereja Scientology secara online.

Wartawan dan penerbit itu kekal dalam jaminan sementara menunggu keputusan permohonan ekstradisi dari pihak berkuasa Sweden yang mahu menyoalnya berhubung dakwaan seksual oleh dua wanita.

Kisah penuh di sebalik skandal WikiLeaks ditulis dalam WikiLeaks: Inside Julian Assange's War on Secrecy, kisah di belakang tabir oleh editor penyiasatan The Guardian, David Leigh dan koresponden Moscow Luke Harding. Buku WikiLeaks akan diterbitkan oleh The Guardian pada 10 Februari ini. – Agensi via bharian

sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: