LABIS - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menyaksikan pertemuan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim dan Normala Sudirman dari Pas.
Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Md. Asri Amir mengumumkan hanya dua calon terbabit menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon di pejabat Majlis Daerah Labis di sini semalam.
Katanya, Mohd. Azahar, 39, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.02 pagi diikuti Normala, 39, lapan minit kemudian.
"Tiga bantahan telah diterima tetapi tiada calon ditolak sekali gus pembuangan undi pada 30 Januari ini menyaksikan pertandingan antara Normala menentang Mohd. Azahar," katanya.
Mohd. Azahar menyerahkan borang pencalonan yang dicadang oleh Ma Chong Pah @ Mar Chong Pah dan disokong oleh C. Jayaraman manakala Mahat Jamin selaku pencadang Normala dan disokong oleh Rosiah Ahmad.
Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha ( BN) pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dan kencing manis.
Sulaiman menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada Pilihan Raya Umum 2008.
Sementara itu, penamaan calon berjalan lancar meskipun dihadiri kira-kira 23,000 penyokong kedua-dua pihak yang bertanding.
Menurut Ketua Polis Negeri Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif, keadaan terkawal berikutan langkah polis mengasingkan penyokong kedua-dua calon tersebut.
"Saya harap, keadaan ini akan berterusan semasa kempen dan juga pada hari pembuangan undi pada 30 Januari nanti," katanya. via kosmo
0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh:
Post a Comment