Wednesday, January 19, 2011

Wanita dibakar lepas dibunuh

IPOH: “Pada mulanya saya menyangka ‘objek hitam’ itu hanya sekadar patung, tetapi selepas melihat lebih dekat, saya terkejut kerana ia mayat seorang wanita.
“Saya segera melaporkan perkara itu kepada pegawai bertugas sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” kata Mahani Mohd Yusuf, 42, pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menemui mayat seorang wanita dipercayai mangsa bunuh di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir Puteh, dekat sini, pagi semalam.

Mahani berkata, sepanjang lebih sembilan tahun berkhidmat dengan MBI, itulah kali pertama dia menemui mayat ketika bertugas dan masih ketakutan apabila memikirkannya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 8.20 pagi.

“Sepasukan unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan menemui mayat itu terbaring di sebelah tong sampah bersama kesan terbakar.

“Ketika ditemui, mayat itu masih berpakaian lengkap seluar pendek dan baju-T, namun tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, siasatan polis mendapati mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seramai 18 wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan yang berperwatakan wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan CM Yusuf, di sini, petang kelmarin.

Mohd Dzuraidi berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang berjaya menahan wanita warga asing itu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran.

“Berdasarkan siasatan, 16 wanita terbabit warga Indonesia manakala selebihnya dari Vietnam dan Thailand.

“Kami turut memberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertanggungjawab menjaga hotel berkenaan dan turut terbabit dalam kegiatan pelacuran di hotel itu,” katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, dalam serbuan sama, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang dipercayai pelanggan di hotel itu untuk membantu siasatan. Katanya, polis turut merampas dua botol cecair bahan pelincir, 56 kondom, wang tunai RM414 dan satu buku daftar hotel.  - metro
sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: