Friday, January 21, 2011

chelsea perlu masa


DIDIER Drogba mengakui Chelsea terasa kehilangan pemain berpengalaman yang meninggalkan Stamford Bridge musim panas lalu ketika mereka menempuh saat-saat sukar, baru-baru ini.

The Blues menjual atau melepaskan pemain antarabangsa yang terbukti kehebatan mereka - Michael Ballack, Ricardo Carvalho, Joe Cole, Deco dan Juliano Belletti - ketika musim panas, sekali gus memberi peluang tempat buat pemain muda Josh McEachran, Jeffrey Bruma, Gael Kakuta, Patrick van Aanholt dan Daniel Sturridge.


Kecederaan dan kurang cergas menyebabkan mereka kehilangan khidmat Drogba, Frank Lampard, John Terry dan Michael Essien buat beberapa perlawanan selain Ray Wilkins turut dipecat secara kontroversi sebagai penolong pengurus, lantas mencetus keputusan terburuk mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam tempoh 15 tahun.

Pemain utama kini kembali dan bintang serangan Drogba percaya pemain muda Chelsea akan bertindak cemerlang selepas ini.


“Kami berdepan terlalu banyak kecederaan pemain dan pasukan ini berubah wajah daripada tahun lalu. Kami kehilangan lima pemain hebat - Ballack, Belletti, Deco, Carvalho dan Joe Cole.


“Dan kami menggantikan mereka dengan pemain muda seperti Bruma, Kakuta, McEachran dan Van Aanholt.

“Mereka pemain yang bagus, tapi mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan baik.”

Pemain berusia 32 tahun itu bergelut untuk mengembalikan semula persembahan terbaiknya selepas mengalami demam malaria.

“Mulanya ujian tidak menunjukkan tanda-tanda ia malaria. Doktor ingatkan ia adalah selesema, jadi itu sebabnya kami membazirkan masa,” katanya.

“Ketika kami fikir ia sekadar selesema, saya bermain, kerana bagi saya, selesema boleh ditangani.

“Kecergasan saya merudum, tapi saya bekerja keras dan cuba untuk membantu pasukan.

“Bagi saya untuk bermain sekarang, ia satu permulaan yang bagus kerana ia saat yang sukar buat saya mengalami demam malaria - amat sukar.”

Drogba menyumbat 37 gol buat Chelsea musim lalu tetapi hanya mampu menjaringkan sembilan gol setakat ini.

“Ia mungkin bukannya sesuatu yang saya jangkakan, tapi saya mengalami malaria dan menjalani pembedahan hernia sebelum permulaan musim untuk memastikan saya sihat dan cergas bagi beberapa tahun lagi.

“Saya tidak kata saya gembira kerana kami berdepan saat sukar ketika ini, tapi apabila anda lihat semula jumlah perlawanan saya dan jumlah gol serta hantaran yang saya lakukan, saya tahu ia bukannya yang terbaik, tapi tidaklah teruk sangat. Dan saya boleh terus memperbaikinya.

“Saya tidak bimbang mengenai persembahan saya. Jika kami memenangi kejuaraan liga dan saya hanya menjaringkan 10 gol, bagi saya ia tidak ada masalah.”

Namun Drogba mengakui Chelsea sukar untuk memenangi kejuaraan liga secara berturut-turut kerana mereka gagal memenangi perlawanan secara berturut-turut.

“Daripada memikirkan mengenai memenangi kejuaraan liga, kami patut memikirkan mengenai memenangi perlawanan secara berturut-turut. Ia bukannya satu gurauan, ia satu hakikat.”

sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: