Friday, January 21, 2011

Presiden China berbalah pendapat dengan Obama


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan rakan sejawatannya dari China, Hu Jintao berbalah berhubung hak asasi manusia.
Jintao tidak berkongsi definisi Obama mengenai hak asasi manusia sejagat semasa mereka bertemu di White House kelmarin.
Pertemuan itu dibuat susulan lawatan Jintao ke AS.
Sebelum perbalahan itu, bunyi trumpet dan tembakan meriam 21 das bergema di Washington semasa Jintao tiba di White House yang dihiasi dengan bendera AS serta China.
Bagaimanapun, pada satu sidang akhbar, terdapat tanda-tanda kedua-dua pemimpin itu gagal mencapai persetujuan berhubung nilai mata wang China, yuan, akses untuk memasuki pasaran China atau isu-isu strategi lain.
Walaupun tidak mencapai persetujuan, kedua-dua pemimpin berjanji akan meningkatkan kerjasama dalam isu-isu dunia yang menjadi keutamaan.
Obama pula menyambut baik kebangkitan China sebagai kuasa utama dan memandang ke hadapan satu era persaingan yang sihat.
Presiden AS turut mengemukakan perbezaan AS dengan China.
Obama mendesak untuk kebaikan firma-firma AS dengan menyatakan mata wang yuan di bawah nilai dan menggalakkan dialog dengan wakil pemimpin Tibet dalam buangan, Dalai Lama.
Presiden AS mengakui China mempunyai satu sistem politik yang berbeza dengan AS tetapi Obama menyatakan beliau tidak akan mengelak daripada membangkitkan isu-isu hak asasi manusia.
"Kami mempunyai beberapa pandangan keras sebagai rakyat Amerika mengenai beberapa hak asasi manusia sejagat, kebebasan berucap, kebebasan beragama, kebebasan berhimpun yang kami anggap amat penting dan mengatasi budaya," kata Obama.
Seorang pegawai kanan AS kemudian menyatakan, Obama secara peribadinya membangkitkan isu mengenai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Liu Xiaobo yang dipenjarakan sejak 2009 berhubung dakwaan subversif.
Namun, pegawai tersebut tidak memberitahu reaksi Jintao berhubung isu Xiaobo itu.
Dalam sidang akhbar kelmarin, Jintao berkata, China membuat perkembangan yang besar mengenai hak asasi manusia tetapi menyatakan beliau berada dalam sebuah negara yang besar dengan masalah sosial dan ekonomi.
"Kami percaya bahawa kami perlu mengambil perkiraan perbezaan keadaan negara apabila ia melibatkan nilai-nilai sejagat hak asasi manusia," katanya.
Dalam makan malam yang dihoskan Obama untuk Jintao di White House, beberapa selebriti keturunan China turut menghadirinya seperti pelakon Jackie Chan, pereka pakaian, Vera Wang dan bintang sukan AS, Michelle Kwan. - Agensi, kosmo


sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: