ADA reaksi kecewa daripada wajah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.Puncanya, dia tidak berpeluang berdepan bintang sensasi China, Lin Dan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini.
Pada awalnya, pemain ranking No. 1 dunia itu diramal akan turun menentang Lin Dan yang juga merupakan musuh tradisinya pada aksi separuh akhir.
Namun, segala-galanya berubah selepas jaguh dari Tembok Besar China itu membuat keputusan untuk menarik diri daripada beraksi pada peringkat suku akhir semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan seorang lagi pemain China, Chen Long yang dijadual berdepan Lin Dan pada aksi suku akhir itu, diberikan kemenangan percuma sekali gus mara ke peringkat separuh akhir.
Ini bermakna, bukan Lin Dan yang menjadi lawan Chong Wei pada aksi separuh akhir tetapi Chen Long.
"Saya terkejut dengan keputusan Lin Dan itu tetapi semuanya sudah berlalu.
"Memang pertemuan ini akan menjadi perlawanan tumpuan serta dinanti-nantikan.
“Namun, apa boleh buat dia (Lin Dan) telah menarik diri selepas dikatakan mengalami masalah kecederaan," kata Chong Wei.
Terdahulu, Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir selepas mencatatkan kemenangan ke atas pemain Vietnam, Nguyen Tien Minh 21-15, 21-16 pada aksi suku akhir.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Chen Long, Chong Wei berkata: "Chen Long merupakan pemain yang agresif.
"Jadi... saya perlu lebih berhati-hati dengan corak permainannya.
"Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai Chen Long kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah prestasi diri saya sendiri," katanya. via kosmo
0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh:
Post a Comment