Monday, January 24, 2011

Syabas! filem khurafat raih 4 juta, 1 minggu di pawagam


SYABAS buat Datuk Yusof Haslam dan anak bujangnya, Syamsul Yusof kerana meraih kejayaan terbaru melalui filem terbitan mereka, Khurafat: Perjanjian Syaitan.

Selepas dibuka seminggu, Khurafat mencatat kutipan hampir RM4 juta. Saya kira jumlah itu OK sangatlah kerana ia memang dah mencapai sasaran awal dua beranak sealiran profesion itu.


Berborak ringkas dengan Datuk Yusof pagi semalam, pengarah dan produser veteran itu dalam nada ceria dan syukur berkata, pencapaian itu berkat sokongan ratusan ribu peminat filem dan pihak media terhadap filem seram pertama arahan Syamsul.


“Kutipan hampir RM4 juta itu dibuat melalui 68 panggung dan beberapa panggung bebas di seluruh negara. Memang jangkaan awal kami di Skop Productions, Khurafat boleh dapat sekitar RM4 juta tapi melihat sambutan hangat yang terus diberikan ketika ini, kutipan Khurafat boleh mencecah sehingga RM6 juta, Insya-Allah.


“Saya sedar dengan sambutan Tahun Baru Cina yang semakin dekat dan ada kira-kira 10 filem Cina akan ditayangkan, ini akan memperlahankan momentum Khurafat kelak,” katanya.


Bagi saya, tidak kira RM4 juta atau RM6 juta, ia sudah cukup terang membuktikan percubaan Syamsul untuk genre seram membuahkan hasil. Ternyata langkah Syamsul mewarisi minat seni ayahnya itu semakin mantap. 


Kalau diimbas sejarah perfileman Melayu sejak Studio Jalan Ampas, jumlah ayah dan anak menjadi pengarah filem boleh dibilang dengan jari. Kalau pelakon tu, memang ramailah.

Minggu lepas jenama fesyen VIP, Lord’s Tailor pun turut meraikan kejayaan Syamsul dan beberapa lagi bakat baru dengan mempertemukan mereka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Memang Tun juga pelanggan lama Lord’s.

Lebih memanaskan adrenalin saya, Datuk Yusof beritahu, sebelum umur Syamsul mencecah 30 tahun, Skop Productions mahu membikin semula filem epik Bukit Kepong yang pernah diarahkan Tan Sri Jins Shamsuddin pada 1981. Menariknya, kalau dulu Datuk Yusof berlakon, kali ini dia mahu jadi produser. Tebal sungguh semangat patriotik Datuk Yusof.

“Kita bukan buat ‘remake’ 100 peratus daripada filem 1981. Fakta sejarahnya (serangan komunis terhadap Balai Bolis Bukit Kepong) tetap sama tapi dalam ‘approach’ orang muda macam Syamsul. Elemen rekaan dan dramatik tetap kena diselitkan.

“Mungkin ramai tak tahu, bajet Bukit Kepong dulu cuma RM300,000 tidak termasuk penajaan daripada pihak polis. Sekarang, selepas saya kira-kira, bajet Bukit Kepong versi baru perlu kurang-kurang RM6 juta. 

“Saya tengah buat ‘research’ terperinci dengan pihak Bukit Aman dan mahu cari skrip terbaik. Bukit Kepong saya anggap projek mega Skop Productions seterusnya,” kata Datuk Yusof lagi.

Bagi saya, niat dan visi Datuk Yusof itu memang molek kerana hari ini dah semakin kurang filem genre patriotik yang ‘hardcore’. Risau pula melihat semua berebut nak meriahkan pesta filem hantu, kecuali karya yang betul-betul unik dan menggemparkan.

Dengan kombinasi jalan cerita hebat lagi dramatik bersama barisan pelakon popular, saya yakin projek mega impian Skop Productions itu akan menjadi satu karya lagi ‘boom!’ kerana minat, pengetahuan dan ilmu kepolisan memang dah jadi ‘makanan’ Datuk Yusof.

Beberapa hari lalu, ketika mahu ke Pavilion pada awal malam, saya ternampak orang berkerumun di depan Lot 10. Menghampiri lokasi itu, rupanya Syamsul sedang asyik bekerja.

Duduk pula di tembok rumput karpet itu aktres Nabila Huda. Dia kelihatan menangis teresak-esak, bercucuran air mata. Apabila Syamsul menjerit “Cut!” barulah saya berani menghampiri mereka, bersalaman dan bertanya sepatah dua soalan. Saya juga tak berniat ganggu mereka lama-lama.

“Kami tengah ‘shoot’ Bohsia: Jalan Kembali. Dalam ‘scene’ ini, Nabila yang tengah merayap, terkejut mendengar berita ibunya meninggal,” ujar Syamsul.

Saya sendiri melihat ramai Pak Arab, ummi-ummi dan abang-abang kulit hitam berebut-rebut merakam aksi Nabila menangis. Mereka nampak cukup terpegun dengan aksi bersahaja Nabila yang mampu mengalirkan air mata. Syamsul juga nampak puas.

“Gila, kalau Nabila tak hebat!” laung saya dalam hati sebelum berlalu dari situ. Memang perempuan itu dah lama hebat. 


credit to roslenmetro@yahoo.com via hmetro


sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: