Monday, January 24, 2011

dilema hubungan tanpa restu

SOALAN :

MASALAH ini mungkin biasa bagi orang lain namun saya amat tertekan. Saya mempunyai seorang kekasih yang lama dikenali namun hubungan kami tidak mendapat restu ibu bapa kerana si dia tidak mempunyai ciri-ciri yang diharapkan.

Walaupun hanya berpendidikan sekolah rendah dan bekerja sebagai mekanik, saya sayangkan si dia. Saya lepasan diploma dari sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Jurang itulah yang menyebabkan ibu dan ayah tidak merestui perhubungan kami dan mahu memutuskan perhubungan.

Malangnya ibu ayah tidak tahu kami terlanjur. Kami menjalin hubungan selama empat tahun dan pernah duduk serumah serta menjalin perhubungan seperti suami isteri.

Kami mahu kembali ke pangkal jalan, malangnya penolakan ibu bapa membantutkan hasrat itu. Saya terpaksa merahsiakan keterlanjuran itu kerana takut dimarahi.

Hubungan kami kini berjalan secara rahsia. Bantulah saya doktor kerana tidak sanggup begini lagi.



JAWAPAN :

SEBAGAI ibu bapa yang melahir dan membesarkan adik, pasti mereka mahukan yang terbaik untuk anak dalam pelbagai aspek termasuk pemilihan menantu.

Justeru, kerana perbezaan jurang pendidikan dan pekerjaan, ibu dan ayah menolak calon suami kerana mereka beranggapan dia tidak mampu memberi kebahagiaan hidup kepada adik.

Setiap ibu bapa menyayangi anaknya, justeru penolakan itu sudah tentu berasaskan pada alasan kukuh kerana apabila menyayangi seseorang, mereka menafsir erti kehidupan daripada kaca mata sendiri dan bukan orang lain.

Ibu dan ayah adik melakukannya kerana bukan saja menyayangi adik malah tidak mahu melihat anaknya nanti hidup menderita. Adik perlu memahami mengapa ibu dan ayah melakukannya daripada kaca mata rasional sebagai seorang anak, bukan terlalu mengikut perasaan semata-mata.

Dengan cara itu, adik akan lebih bersifat empati terhadap ibu bapa selain merasai kasih sayang mereka.

Merahsiakan perhubungan juga bukan penyelesaian yang baik apatah lagi sudah terlalu jauh batas hubungan yang dijalin. Adik perlu ada keberanian untuk memberitahu ibu ayah apa yang sudah berlaku sekali gus meredakan konflik yang ditanggung.

Melarikan diri tidak boleh menyelesaikan masalah. Berterus teranglah kerana adik dan kekasih sudah terlalu jauh tersasar daripada landasan agama. Untuk mengelakkan lagi banyak dosa, perkahwinan adalah yang terbaik dan sangat dituntut agama kerana melalui ikatan sah saja, nafsu dapat disalurkan dengan sempurna.

Meskipun perkahwinan memerlukan sokongan ekonomi yang kukuh, dengan pekerjaan kekasih serta bantuan adik, Dr percaya kemantapan ekonomi rumah tangga boleh diatasi secara berdikit.

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang lelaki dan perempuan dari kalangan kamu dan orang-orang yang salih dari hamba-hamba kamu. Jika mereka miskin Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha luas RahmatNya dan limpah kurniaNya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nur 24:32).

Adik tidak perlu lagi merahsiakan hubungan itu malah sudah tentu ibu dan ayah berasa sangat sedih apabila mengetahui keterlanjuran yang adik lakukan bersama kekasih.

Tunjukkan kesungguhan adik untuk berkahwin dan bersikap berani dengan ibu bapa. Ajak kekasih untuk bersemuka dan berterus terang untuk meyakinkan ibu bapa adik berdua sangat serius untuk berkahwin.

Tapi adik perlu ingat, proses memujuk ini belum tentu mudah dan memerlukan kesabaran tinggi. Bersabarlah kerana kesabaran dan kesungguhan biasanya akan memberi hasil yang baik.

Bagaimanapun, jika ia masih gagal, berserahlah pada Allah dan terima dengan reda mengikut batasan adat, budaya dan agama. credit to bimbingan
sila click jika suka.. tq Kongsi beritahu rakan di facebook!

0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh: