PENGACARA program Malaysia Hari Ini (MHI), Ally Iskandar, 35, bakal menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya, Nur Aisy'ah Zainal, 26, hujung tahun ini.
Majlis pertunangan Ally dan Aisy'ah yang juga naib juara program realiti televisyen Gadis Melayu musim pertama, berlangsung Jumaat lalu (11 Februari) bertempat di rumah kakak Aisy'hah di Ampang, Selangor.
Apabila majlis tersebut diadakan secara diam-diam, Ally ketika ditemui di majlis pelancaran program baru, Sejuta Impian, terbitan kolaborasi antara TV3, Telekom Malaysia (TM) dan Dana Belia 1Malaysia (DB1M) menjelaskan kepada para wartawan berhubung majlis pertunangannya.
"Bukan sengaja mahu dirahsiakan daripada pengetahuan rakan-rakan wartawan sebaliknya sebagai menghormati permintaan daripada pihak keluarga perempuan yang tidak mahu perkara ini dihebohkan maka majlis diadakan tanpa disalurkan sebarang maklumat kepada media.
"Bukan sahaja wartawan tidak mengetahui mengenai pertunangan kami tetapi warga kerja MHI termasuk bahagian Komunikasi Korporat TV3 pun tidak tahu menahu tentang perkara ini," jelasnya sambil memohon maaf kepada rakan-rakan media berhubung merahsiakan pertunangannya itu.
Menurut Ally, perkenalan dengan Aisy'ah yang mempunyai perniagaan sendiri bermula pada tahun 2008, cuma tiga bulan kebelakangan ini barulah mereka menjadi rapat dan mengambil keputusan untuk bertunang.
Katanya, pakej yang ada dalam diri Aisy'ah berjaya memikat hatinya dan dengan pertunangan mereka, kegusaran yang selama ini membelenggu Ally telah terhapus.
"Saya tidak takut hilang penonton wanita jika itulah persoalan yang dilontarkan mengapa saya merahsiakan pertunangan dengan Aisy'ah.
"Apa yang saya takutkan ialah kalau saya tidak berkahwin. Lagipun saya sedar, lama kelamaan tidak akan ada orang yang mahu tengok muka saya lagi.
"Sekurang-kurangnya apabila saya balik ke rumah, adalah juga orang yang nak tengok muka saya," katanya secara berseloroh.
Terus terang Ally berkata, beliau tidak dapat mendedahkan berapakah wang hantaran yang diminta oleh pihak perempuan sebaliknya memberitahu, bakal isterinya itu cukup memahami kerjayanya.via utusan
0 0 ladies and gentlemen love myCeloteh:
Post a Comment